Wednesday 29 December 2010

Tingkatan 6 Atas Sastera A, 1984.

Ini adalah gambar kenangan pelajar-pelajar tingkatan 6 Atas Sastera A (6ASA), Sekolah Tinggi Muar, 1984. Ada beberapa orang pelajar yang sama kelas semasa tingkatan 6 Rendah Sastera A telah meninggalkan sekolah kerana menyambung pelajaran samada ke Maktab Perguruan ataupun ke Institut Teknologi MARA (ITM). Apa yang pasti aku sebagai ketua tingkatan masih dikekalkan untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan.

Sebenarnya terlalu banyak kenangan semasa aku berada di kelas ini. Namun yang paling aku tidak boleh lupakan ialah ada berlaku sedikit salah faham antara aku dengan guru tingkatan hingga aku nekad untuk tidak membantu beliau membuat laporan yang perlu diserahkan kepada guru besar setiap bulan. Apa yang pasti aku akan cuba mengelakkan untuk berjumpa dengan guru tingkatan termasuk berkomunikasi dengan beliau. Tetapi suatu hari aku terpaksa juga berkomunikasi dengan guru tingkatan untuk bertanyakan beliau tentang laporan yang diminta oleh guru besar. Entah mengapa hati aku macam tidak yakin dengan laporan yang pertama kali dibuat oleh beliau dan terus menyemak sebelum menyerahkan kepada guru besar. Aku terus memberitahu akan kesilapan laporan tersebut tetapi, guru tingkatan sukar hendak menerima teguran aku. Oleh kerana malas hendak bertekak aku cuma mengingatkan bahawa jangan salahkan aku kalau beliau dipanggil oleh guru besar kerana membuat laporan yang salah.

Namun setelah menamatkan persekolahan aku terkejut apabila penyata sijil berhenti sekolah guru tingkatan menulis segala rekemen dengan perkataan terbaik dari semua sudut termasuk kelakuan, tanggungjawab dan sebagainya. Setiap kali aku melihat sijil berhenti sekolah, maka segala memori aku bersama guru tingkatan 6 Atas Sastera A pasti mengamit semula. Aku ingin memohon maaf kerana sikap aku yang mungkin dianggap kurang ajar kerana menegur kesalahan seorang guru. Apa-apapun terima kasih cikgu.

Friday 24 December 2010

Tingkatan 6 Rendah Sastera A, 1983.

Gambar kenangan pelajar-pelajar tingkatan 6 Rendah Sastera A, Sekolah Tinggi Muar, Muar pada tahun 1983.

Sebenarnya Sekolah Tinggi Muar merupakan sekolah yang dikhaskan untuk pelajar lelaki sahaja kecuali tingkatan 6. Guru tingkatan ialah Encik Harun Shafie yang mengajar matapelajaran Geografi. Aku telah dilantik sebagai ketua tingkatan. Tingkatan 6 Rendah ini telah menemukan aku semula dengan beberapa orang pelajar yang sama-sama belajar di Sekolah Menengah Sri Muar dan juga Sekolah Rendah Ismail (Satu), Muar.

Pada hari kemuncak Minggu Orientasi aku sengaja tidak menghadiri kelas kerana dapat sedikit maklumat dari beberapa orang senior yang pernah satu kelas semasa bersekolah di Sekolah Agama. Aku dengar khabar teruk juga semua pelajar tingkatan 6 Rendah kena orientasi dengan pelajar-pelajar senior hingga menyebabkan pihak sekolah bertindak untuk campurtangan.

Oleh kerana kekurangan guru maka pelajar-pelajar tingkatan 6 Rendah Sastera A dan B menjadi kelam-kabut sedikit. Kami belajar dalam keadaan yang kurang selesa kerana berkongsi guru dalam beberapa matapelajaran dan terpaksa berpindah kelas samada pelajar dari Sastera A pergi ke kelas Sastera B dan sebaliknya. Aku terus memberi cadangan kepada Penolong Guru Besar agar tingkatan 6 Rendah Sastera A dan B digabungkan dengan menggunakan bilik tingkatan 6 Rendah Econ-Math yang besar tetapi mempunyai bilangan pelajar yang kecil. Apa yang pastinya Penolong Guru Besar bersetuju dan keesokkannya kami pelajar-pelajar Sastera A dan B telah digabungkan di dalam satu kelas namun kami tetap diasingkan senarai nama-nama pelajar dan guru tingkatan sendiri.

Walaupun tingkatan 6 Rendah Sastera A dan B mempunyai ketua tingkatan masing-masing namun aku sendiri tidak tahu mengapa guru-guru lebih suka menyampaikan segala maklumat hanya kepada aku sahaja. Apa yang lebih pelik guru tingkatan 6 Rendah Sastera B lebih selesa memberi maklumat kepada aku untuk disampaikan kepada keseluruhan kelas ataupun untuk kelas beliau sendiri.

Wednesday 22 December 2010

Tingkatan 5 Sains 5, 1982

Gambar kenangan pelajar-pelajar tingkatan 5 Sains 5, Sekolah Tinggi Muar pada tahun 1982.

Sebenarnya pelajar tingkatan 5 Sains 5 adalah pelajar-pelajar yang sama sewaktu tingkatan 4 Sains 5 pada tahun 1981. Hanya sedikit perubahan iaitu guru tingkatan Cik Goh (guru matematik tambahan) yang berpindah ke Melaka digantikan dengan kawan baik beliau Cik Khor (guru Fizik). Selain daripada itu Penolong Ketua digantikan dengan pelajar lain.

Kenakalan pelajar-pelajar masih ditahap yang sama. Kadangkala Cik Khor menjadi bahan usikan pelajar-pelajar terutama Khirul Kismie. Cik Khor mencadangkan Penolong Ketua diadakan pemilihan semula dengan mengekalkan orang yang sama atau sebaliknya. Tetiba aku terdengar ada suara seseorang mencalunkan nama aku. Akhirnya semua pelajar Cina dan hanya beberapa orang pelajar Melayu telah mengundi aku dengan kemenangan begitu tipis sekali.

Kalau aku menghadapi masalah untuk membuat ujikaji di makmal sains pasti ramai pelajar-pelajar Cina dengan sukarela datang menghampiri aku. Aku masih ingat ada suatu ketika beberapa orang pelajar Cina menghampiri dan menerangkan aku pasal satu ujikaji tetiba terus diam dan meninggalkan aku yang terpinga-pinga. Aku cuma nampak ada beberapa pelajar Melayu yang berada di sekeliling memandangkan muka aku sebaik sahaja aku melihat sekeliling untuk mengetahui apa yang terjadi. Apa yang peliknya pelajar-pelajar Cina itu menghampiri dan menerangkan semula kepada aku sebaik sahaja pelajar-pelajar Melayu meninggalkan aku sendirian. Entahlah, aku sendiri tidak tahu mengapa situasi ini berlaku.

Kepada pelajar-pelajar Cina, terima kasih kerana sudi berkawan dan menerima aku seadanya. Aku tetap menghargainya. Kepada pelajar-pelajar Melayu, maaf aku pohonkan jika kehadiran aku tidak menyenangkan kamu semua. Apa-apapun aku tidak pernah membenci kamu semua.

Sunday 19 December 2010

Tingkatan 4 Sains 5, 1981

Gambar kenangan pelajar-pelajar tingkatan 4 Sains 5, Sekolah Tinggi Muar, Muar, Johor pada tahun 1981.

Di antara nama-nama yang aku ingat di barisan hadapan ialah Ahmad Zawawi, Musleh, Rosli, Theether, Rahim, Mashudi dan Hedzir. Manakala di barisan kedua pula Sanusi, Fairuz, Fuad, Nasarudin, Rozhan, Hamdan dan Khairul Kismie. Manakala di barisan ketiga pula Zulkifli, Shahrudin, Othman dan Zulkarnain. Kepada nama-nama yang tidak disebutkan terutama pelajar Cina, maaf dipohonkan sebab memori aku agak terhad kerana ianya sudah 29 tahun berlalu.

Kenangan yang paling tidak boleh dilupakan ialah apabila tingkatan 4 Sains 5 diumumkan sebagai kelas yang paling kotor dua minggu berturut-turut. Kami semua telah didenda memungut sampah di padang hoki sekolah yang terletak di seberang jalan sekolah atau bertentangan dengan pejabat kerajaan dan istana Muar. Guru tingkatan telah memberi amaran andaikata minggu berikut kelas kami diumumkan sekali lagi sebagai kelas paling kotor maka beliau akan menyuruh kami membersihkan kelas menggunakan baju sekolah masing-masing.

Walaupun di kelas ini ada pelajar dari pelbagai kaum, namun aku paling rapat sekali dengan pelajar-pelajar kaum Cina. Aku pun tidak tahu mengapa aku lebih rapat dengan pelajar Cina, tetapi yang pasti hanya mereka sahaja yang sudi berkawan dengan aku.

Saturday 18 December 2010

Tingkatan 3D, 1980

Ini adalah rakan-rakan pelajar semasa di dalam tingkatan 3D, Sekolah Menengah Sri Muar, Muar, Johor pada tahun 1980.

Nama-nama yang aku masih ingat di baris hadapan adalah Rohana, Latifah, Roslizah, Siti Azwan, Puan Manjit Kaur, Dass, Nabiha, Faridah, Jameah, Saleha dan Shariah. Manakala di baris kedua ialah Rosnah, Nobiha, Anita, Manimala dan Parawathy. Manakala baris ketiga pula Rashidin, Syed Hussain, Isa, Theether, Moses, Hedzir, Esa dan Zaini. Kepada mereka yang tidak disenaraikan nama harap dimaafkan disebabkan aku terlupa nama. Opss... mana nama aku pula. Aku berada di baris ketiga. Hehe...

Ada banyak kenangan di dalam tingkatan ini. Guru tingkatan pening kepala sebab kelas ini memang selalu membuat bising walaupun berbagai cara dibuat dengan menukarkan tempat duduk pelajar. Di dalam kelas ini ada anak saudara pelawak Mat Sentul. Ada dua pelajar Melayu yang boleh bertutur di dalam bahasa Mandrin. Selain daripada itu ada seorang pelajar perempuan yang merupakan anak seorang guru agama telah berkahwin dengan rakan karib aku semasa di dalam darjah 6.

Setelah tamat tingkatan 3 iaitu Sijil Rendah Pelajaran, empat dari pelajar perempuan telah berpindah ke tingkatan 4 aliran Sains di Sekolah Menengah Perempuan Sultan Abu Bakar, Muar dan tiga pelajar lelaki termasuk aku pula ke Sekolah Tinggi Muar kerana sekolah ini tidak mempunyai aliran Sains.

Namun perkara yang paling menarik dengar khabar ada salah seorang pelajar perempuan amat berminat dengan aku. Aku tidak pasti samada ianya benar ataupun sekadar gossip sahaja.

Friday 17 December 2010

AJK Jamuan Tahunan

Pihak pengurusan tempat aku bekerja telah membuat bajet untuk mengadakan Jamuan Tahunan Syarikat bagi tahun 2011. Apa yang pasti ahli jawatankuasa (AJK) lama sekali lagi dipertanggungjawabkan untuk mengendalikannya cuma ada seorang AJK baru yang dilantik untuk menggantikan AJK lama yang bersara. Oleh itu macam biasa nama aku tersenarai.

Walaupun beberapa mesyuarat telah diadakan untuk menentukan tarikh, tempat, makanan dan beberapa perkara lagi namun masih ada sedikit cakap-cakap belakang ataupun suara sumbang yang kadangkala tidak faham apakah tujuan mereka. Pada hakikatnya suara-suara tersebut biasanya datang dari pihak atau puak yang sama.

Apa yang menghairankan telah bertahun-tahun AJK adalah orang yang sama tetapi kali ini ada juga yang kecoh kononnya hendak mengetahui siapa AJK yang terlibat. Garu kepala tak gatal aku hendak melayan kerenah mereka ini. Kenapa hendak memeningkan kepala untuk mengetahui siapa AJK kecuali kalau mereka memang berminat dan mengharapkan mereka dilantik menjadi AJK jamuan tersebut. Tetapi kenapa? Mungkin hendak 'glamour'? Haha...

Nasihat percuma aku lupakan sahaja kalau hendak publisiti murahan ataupun 'glamour'. Cukup sahaja apa yang pernah terjadi pada tahun 2009 apabila melantik AJK baru tetapi akhirnya jamuan tahunan dibatalkan kerana berlaku sedikit kekecohan. Biarlah kami AJK lama kendalikannya setelah 2 tahun tiada jamuan tahunan syarikat.

Monday 13 December 2010

Tingkatan 2D, 1979


Ini adalah gambar kenangan sewaktu aku menuntut di tingkatan 2D, Sekolah Menengah Sri Muar, Muar, Johor pada tahun 1979.

Tingkatan ini yang pada mulanya terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan tetapi telah dibubarkan dengan menempatkan pelajar lelaki sahaja. Semua pelajar perempuan yang berada di tingkatan ini dipindahkan ke tingkatan 2E dan beberapa pelajar lelaki dari tingkatan 2E pula dipindahkan ke tingkatan 2D. Apa yang pasti pelajar lelaki dari 2E enggan dipindahkan secara sukarela dan pihak sekolah terpilih memilih secara rambang. Ini adalah kerana majoriti pelajar di tingkatan 2D adalah pelajar kaum Cina. Apa yang pasti aku tidak terlibat langsung di dalam penukaran ini memandangkan aku adalah pelajar asal tingkatan 2D.

Saturday 4 December 2010

Konvokesyen ITM 1988

Aku ingin mengembalikan nostalgia sewaktu konvokesyen Institut Teknologi MARA (ITM) ke 28 pada tahun 1988 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Aku menerima Diploma pada sidang kempat pada hari Ahad, 16hb Oktober, 1988 jam 2.00 petang.



Ini adalah barang atau tempat yang kononnya meletakkan sijil Diploma semasa konvokesyen tersebut. Semasa aku kecil selalu melihat di dada-dada akhbar gambar graduan-graduan terbaik dari universiti akan bersama-sama ibu bapa bergambar kononnya melihat sijil yang berada di dalamnya. Tetapi apabila giliran aku konvokesyen di ITM baru aku tahu tiada apapun sijil di dalamnya. Ini semua adalah satu simbolik untuk graduan pada hari konvokesyen.


Ini adalah buku aturcara termasuklah senarai nama-nama para graduan yang menerima Diploma bagi kursus masing-masing pada sidang dan hari tersebut. Tetapi berapa ramaikah kawan-kawan yang sama-sama mengharungi suka-duka di kampus yang kita kenali semasa di semester satu juga akan tersenarai namanya di dalam buku ini.




Ini pula adalah pakaian baju kurung cekak musang yang aku pakai semasa hari konvokesyen tersebut. Pada masa itu semua graduan lelaki Melayu diwajibkan memakai baju kurung berwarna hitam dan songkok. Apa yang uniknya pakaian ini aku sengaja menempahnya tanpa mempunyai pesak. Aku pada mulanya hendak menempah baju kurung Teluk Belanga iaitu pakaian rasmi orang negeri Johor, tetapi membatalkannya kerana bimbang ianya akan menjadi satu kesalahan pada pakaian hari konvokesyen.