Saturday 30 October 2010

MD Kemalangan

Semalam sewaktu ke tempat kerja ada sedikit kemalangan melibatkan MD dengan penunggang motorsikal dan sebuah kereta yang lain. Ianya berlaku di tempat yang juga melibatkan aku beberapa bulan yang lepas. Sebenarnya persimpangan jalan tersebut memang mudah berlaku kemalangan jika tidak berhati-hati ataupun suka mengambil jalan pintas.

Oleh kerana ianya melibatkan MD tempat aku bekerja dan beliau ternampak semasa aku melalui jalan tersebut, maka aku cuba untuk mengetahui apa yang berlaku memandangkan MD tidak begitu faham bahasa Inggeris apa lagi dengan bahasa Malaysia. Salah seorang yang berada di situ memberitahu aku supaya ianya diselesaikan. Aku faham maksud beliau samada untuk selesaikan di situ dengan membayar saguhati ataupun membuat laporan di balai polis.

Aku cuba menyatakan kepada MD dan beliau memberitahu telah memberitahu pada Tai. Beberapa saat kemudian Tai tiba dan aku menyatakan bahawa mereka yang terlibat dengan kemalangan ini mahu masalah ini diselesaikan. Kemudian Tai menjawab "I ask my staff can speak Malay". Beberapa saat kemudian salah seorang dari staf dari Jabatan Personnel yang juga melalui jalan itu memberhentikan kereta yang kononnya untuk membantu. Aku terus meninggalkan tempat kejadian untuk ke tempat kerja bagi memastikan gaji aku tidak dipotong kerana datang lewat, tambahan pula bantuan aku tidak diperlukan.

Kadangkala terfikir juga betapa hikmahnya hari semalam kerana kebiasaannya aku memang akan terserempak dengan kereta MD di kawasan tersebut. Oleh kerana gara-gara tertinggal telefon bimbit menyebabkan aku terlewat beberapa minit ke tempat kerja. Apa-apapun aku bersyukur kepada Allah. Terima kasih kepada radio ERA dan juga pakar motivasi Datuk Haji Mohd. Fadilah Kamsah yang memberi berbagai-bagai panduan, tip dan motivasi yang aku dengar di radio sebelum ke tempat kerja. Aku cuba mengamalkannya dengan keizinan Allah.

Namun aku tersenyum dan tertanya-tanya di dalam fikiran ini tentang ungkapan kata-kata Tai. Apakah aku ini tidak pandai bertutur di dalam bahasa Malaysia atau Melayu? Ataupun aku ini bukan Melayu?

Thursday 28 October 2010

VSS

Hari ini merupakan hari terakhir bagi beberapa pekerja yang berjaya di dalam tawaran pemberhentian secara sukarela iaitu VSS. Ada dikalangan jabatan yang membuat jamuan untuk pekerja-pekerja mereka. Ada juga yang membuat jamuan sendiri dengan membelanja kawan-kawan.
Jadi hari ini ada staf yang mendapat VSS membawa pulut kuning. Ada dua orang operator yang telah berkhidmat begitu lama telah membelanja aku makan ayam KFC. Seorang daripada operator tersebut telah berkhidmat selama 22 tahun yang merupkan kawan baik dan sekampung dengan kakak iparku. Manakala seorang lagi operator telah berkhidmat selama 18 tahun dan pernah bersama-sama menaiki kenderaan ke tempat kerja yang disediakan oleh pihak syarikat sebelum aku membeli motor.

Kepada Haslina Iswani Ishak, terima kasih kerana membelanja pulut kuning dan apa yang pasti rendang ayam tersebut memang sedap hingga menjilat jari. Manakala kepada Azlina dan kakak Masriah terima kasih kerana membelanja ayam KFC. Aku berdoa semoga kamu semua dimurahkan rezeki dan berbahagia di samping keluarga masing-masing. Aku memohon maaf jika aku ada terkasar bahasa sepanjang kamu semua berurusan dengan aku untuk mengambil duit tuntutan ubat, kebajikan atau apa sahaja yang berkaitan dengannya.

Tuesday 19 October 2010

Pengiraan Aneh 2010

Aku menerima emel dari seorang kawan tentang sesuatu yang menarik mengenai pengiraan yang aneh di tahun 2010 ini. Katanya, tahun 2010 adalah satu-satunya tahun di mana pengiraan ini berhasil. Jadi jika hendak tahu kebenarannya maka tunggulah tahun hadapan untuk membuat pengiraan yang sama untuk melihat samada ianya boleh berhasil seperti di tahun 2010.

  • Tetapkan dalam seminggu berapa kali anda ingin makan malam di restoran.
  • Darabkan dengan 2.
  • Tambah 5.
  • Darabkan dengan 50.
  • Jika tarikh lahir anda tahun ini sudah lepas, tambah 1760, dan 1759 jika ianya belum lepas.
  • Tolak tahun anda dilahirkan.
  • Hasilnya, jumlah anda sekarang adalah 3 digit nombor.
  • Digit pertama adalah jumlah nombor yang anda ingin makan malam di restoran.
  • Manakala dua digit terakhir adalah usia anda.

Sunday 17 October 2010

Mesyuarat Agung Ke 5

Mesyuarat Agung Ke 5 dan pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) baru tempat perumahan aku tinggal ada berlaku sedikit kekecohan sewaktu pemilihan Pengerusi untuk tahun 2010/11. Ada seorang penduduk yang juga bekas AJK 2009/10 melahirkan rasa tidak puashati apabila pengerusi sebelum ini tewas 9 undian dengan pengerusi baru yang sebelum ini hanya AJK biasa yang dilantik jadi Naib Pengerusi apabila Naib Pengerusi lama meletakkan jawatan. Aku perhatikan dia mula bertikam lidah dengan penduduk lain di dalam dewan.

Aku tidak faham apakah motif sebenar beliau. Apakah ada agenda tersembunyi sebab beliau bersama-sama pengerusi lama adalah bekas AJK terdahulu dan asal sejak penduduk mengambil-alih pengendalian pentadbiran dari pemaju perumahan. Aku rasa hanya beliau dan kuncu-kuncu sahaja tahu kenapa sukar untuk menerima orang baru kendalikan pentadbiran.

Apa yang pasti AJK untuk tahun 2010/11 terdiri daripada muka orang lama sejak 5 tahun lalu, AJK yang baru dilantik pada tahun lepas dan juga beberapa muka baru yang mungkin mencuba nasib untuk menjadi popular atau jadi bahan makian penduduk perumahan yang mempunyai banyak ragam.

Wednesday 13 October 2010

Uniknya Oktober 2010

Aku menerima sms dari seorang kawan memberi maklumat tentang sesuatu yang unik tentang bulan Oktober 2010. Pada bulan Oktober 2010 ini mempunyai 5 hari Jumaat, 5 hari Sabtu dan 5 hari Ahad. Ianya terjadi sekali dalam 823 tahun.

Apa yang pasti 1hb Oktober merupakan hari jadi arwah kakakku. Setiap kali aku balik ke kampung pada bulan Oktober pasti arwah kakakku akan memberitahu salah seorang sepupu akan menelefon untuk mengucapkan Selamat Hari Jadi kepada beliau. Kini segalanya sudah tiada lagi.