Sunday 28 March 2010

Kakakku Pergi Jua

Di pagi subuh Sabtu 27hb Mac aku menerima panggilan telefon dari kampung memberitahu kakak aku yang lebih mesra aku panggil Ngah dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar. Selepas bersiap serba ringkas dan menelefon kakak ipar aku di Taman Perling, aku bergegas ke stesen bas Larkin, Johor Bahru untuk pulang ke kampung dengan harapan mendapat tiket bas paling awal. Alhamdulillah, aku mendapat tiket bas jam 8.15 pagi walaupun tempat duduk di belakang sekali.

Setelah sampai ke kampung, aku terus ke hospital untuk menziarahi Ngah. Kami adik-beradik sentiasa bergilir-gilir menemani Ngah. Aku sentiasa berada di sisi Ngah dan sesekali aku akan balik ke rumah jika ramai pelawat yang datang melawat Ngah. Sesekali aku membaca surah Al Fatihah dan surah Yassin untuk Ngah. Selepas maghrib aku menjaga Ngah sementara menanti anak saudaraku Ain menemani Ngah memandangkan peraturan hospital kerjaan tidak membenarkan lelaki menjaga pesakit perempuan.

Lebih kurang jam 4.00 pagi aku menerima panggilan telefon dari anak saudaraku menyuruh aku ke hospital dengan segera. Aku terus mengejutkan abang aku dan kami terus ke hospital. Aku hairan dengan jururawat macam buat tidak tahu sahaja sebaik kami dua beradik memasuki wad dan menuju ke katil. Lebih kurang setengah jam baru salah seorang jururawat bertanya mengapa kami lelaki berada di situ. Hendak sahaja aku menampar jururawat tersebut kerana kemarahan aku masih belum lagi reda semenjak petang semalam kerana mereka langsung tidak mengambil tindakan apabila alat yang memasukkan darah, air atau ubat yang berada di tangan kakakku tercabut. Lepas tu semasa giliran anak saudaraku Ain menjaga mereka boleh menuduh kakak aku yang mencabutnya. Nasib baiklah anak saudaraku mulut laser dan pandai menjawab setelah beliau menelefon aku untuk bertanya akan hal ini.

Lebih kurang jam 6.00 pagi aku balik ke rumah untuk menunaikan fardu Subuh dan bersedia untuk datang menjaga kakakku semula. Lebih kurang jam 8.00 pagi abang aku memberitahu doktor mengarahkan semua ahli keluarga berkumpul. Aku terus berlari ke hospital dan menuju ke wad dan katil. Aku terus mengajar Ngah mengucap dan memohon maaf segala kesalahanku. Air mataku terus berjurai. Aku melihat pernafasan Ngah makin lemah dan perlahan, namun mulutku masih terus mengajarnya mengucap sehingga aku melihat pernafasan Ngah macam terhenti apabila kakak iparku mencuit bahuku. Aku memberitahu salah seorang jururawat yang berada di situ tetapi memang dasar jururawat lembab, beliau buat tidak tahu sahaja. Akhirnya tepat jam 8.30 pagi kakakku pergi jua menyahut panggilan Ilahi.

Air mataku terus berjurai. Aku terus sedekahkan bacaan surah Al-Fatihah dan Yassin di sisi jenazah arwah kakakku. Aku kemudian mengiringi jenazah arwah kakakku ke rumah mayat untuk dimandikan jenazah dan hanya aku sahaja lelaki yang berada di bilik tersebut untuk memandikan dan mengkafankan jenazah arwah kakakku.

Semasa jenazah arwah kakakku berada di rumah, aku sentiasa berada di sini kecuali ada hal tertentu yang terpaksa aku uruskan. Lepas zohor arwah kakakku dikebumikan. Setelah urusan pengebumian arwah kakakku selesai hanya aku sahaja tidak berganjak dari kubur arwah kakakku. Air mataku terus berjurai semasa membaca surah Al-Fatihah sambil membetulkan tanah-tanah di perkuburan arwah kakakku. Adik-beradikku dan saudara-mara yang lain amat memahami situasi aku pada masa itu dan mereka menunggu dan membiarkan aku sendirian. Akhirnya dengan berat hati dan air mata berjurai aku melangkah lemah meninggalkan kubur arwah kakakku sambil memandang kubur tersebut. Anak saudaraku Ezani terus menarik bahuku untuk meninggalkan tanah perkuburan.

Aku tetap bersyukur, walaupun arwah kakakku telah pergi jua untuk selama-lamanya, namun arwah kakakku sempat menunaikan fardu umrah kerana arwah kakakku baru sahaja seminggu kembali dari menunaikan fardu umrah.

Al-Fatihah untuk roh arwah kakakku Maznah Mahmood, semoga di tempatkan di dalam golongan orang-orang yang beriman, beramal soleh dan soleha. Amin.

Sunday 14 March 2010

Sindiran

Aku percaya ramai diantara kita pernah mendengar atau membaca perpatah atau peribahasa "Pukul anak sindir menantu". Persoalannya perlukah kita memukul anak hanya sekadar untuk menyindir atau memberitahu menantu akan sesuatu perkara. Bagaimana kalau dah puas kita memukul anak tetapi menantu masih lagi tidak memahaminya ataupun tidak mengetahui sebenarnya perkara itu hendak dituju kepada beliau. Kalau begitu sia-sia sahaja anak kita kena pukul dan menanggung kesakitan.

Kalau kita perhatikan di sekeliling kehidupan kita penuh dengan sindiran tetapi samada ianya kita sedari atau tidak sedari ataupun pura-pura tidak menyedarinya. Jika sindiran itu sebenarnya untuk kita tetapi kita tidak menyedari ataupun menyangkakan itu sindiran untuk orang lain, maka adalah sia-sia sahaja orang yang menyindir kita. Apa yang paling teruk jika sindiran dituju kepada kita tetapi kita masih lagi boleh ketawa terbahak-bahak atau bersubahat dengan sindiran tersebut hanya disebabkan kita tidak memahami bahawa sindiran itu sebenarnya ditujukan kepada kita.

Oleh itu kita perlu peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita terutama apa sahaja kata-kata yang diucapkan oleh orang di sekeliling kita. Aku tidak bermaksud untuk menyatakan semua kata-kata orang di sekeliling kita penuh dengan sindiran untuk kita tetapi sekadar untuk mengingatkan supaya lebih cuba memahami ucapan atau sindiran tersebut. Aku berpendapat adalah sesuatu yang malang jika kita turut sama ketawa dan tersenyum dengan sindiran yang diucapkan orang sekeliling kita walapun yang sebenarnya sindiran tersebut adalah untuk kita.

Saturday 13 March 2010

Tidak Hadir Reunion

Semalam jam 2.20 petang aku menerima sms dari Azmi (Bilal) wakil bekas pelajar kursus DPA untuk mengetahui jawapan samada aku berminat atau tidak menghadiri reunion ITM Pahang pada 29hb Mei 2010. Aku sebenarnya masih berfikir samada untuk menghadiri ataupun tidak memandangkan tarikh tersebut amat tidak sesuai buat diriku kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja. Oleh kerana aku tidak mahu menyusahkan semua pihak maka aku membalas sms tersebut untuk memohon maaf kerana aku tidak dapat menyertai reunion tersebut.

Aku sebenarnya terlalu berat hati untuk menyatakan "tidak" pada reunion ini. Tetapi aku terpaksa juga memberi jawapan tersebut kerana tidak mahu dianggap sebagai banyak songeh. Aku sebenarnya terlalu sibuk dengan urusan kerja samada di awal bulan ataupun di akhir bulan. Oleh kerana ahli jawatankuasa (AJK) reunion telah memilih tarikh hujung bulan sudah pasti aku tidak boleh menghadirinya.

Aku tidak mempunyai niat untuk memberi berbagai alasan tetapi, itulah hakikatnya. Aku tahu pada 28hb Mei 2010 adalah 'Public Holiday' bagi sesetengah pihak yang berkerja tetapi tidak bagi tempat aku bekerja. Walaupun berlangsungnya reunion adalah hari Sabtu iaitu hari cuti bagi tempat aku bekerja namun aku tidak pasti kerana kemungkinan hari itu aku dikehendaki bekerja lebih masa.

Oleh itu di blog ini aku ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada AJK reunion yang telah berusaha keras untuk menyatukan semula bekas pelajar-pelajar pelopor ataupun perintis ITM Pahang sempena tertubuhnya ITM Pahang 25 tahun. Aku juga memohon maaf kepada kawan-kawan terutama bekas pelajar kursus DPA batch Julai'85 dan kawan-kawan dari kursus lain terutama Muslim (DSS) kerana aku tidak dapat menyertai reunion ITM Pahang.

Tuesday 9 March 2010

Umrah

Semalam kakak aku pergi mengerjakan umrah bersama abang, kakak ipar dan dua orang anak saudara melalui lapangan terbang KLIA. Syukur Alhamdulillah dan InsyaAllah hasrat kakak aku untuk menunaikan umrah dan menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah akhirnya terlaksana juga walaupun beliau baru sahaja beberapa hari keluar dari hospital. Walaupun kesihatan kakak aku masih belum pulih sepenuhnya namun aku, adik-beradik dan saudara-mara memberi kekuatan dan semangat kepada beliau untuk meneruskan hasrat menunaikan umrah.

Aku hanya mampu mendoakan semoga kakak aku tidak menghadapi kesukaran atau kesulitan sepanjang perjalanan pergi dan pulang dari menunaikan ibadat umrah. Aku juga berdoa semoga kakak, abang, kakak ipar dan anak-anak saudara akan selamat dan dapat menyempurnakan ibadat umrah yang sempurna.

Walaupun aku begitu risau dengan kesihatan kakak aku, namun aku percaya Allah sentiasa mendengar doaku. Ya Allah, hanya kepadaMu tempat aku bermohon panjangkan usia kakak, abang dan anak-anak saudara semoga mereka kembali ke tanah air dengan keadaan sihat walafiat pada 21 Mac ini nanti. Amin.

Monday 1 March 2010

Kasut Anti-Statik

Mulai hari ini hampir keseluruhan kawasan di tempat kerja menjadi kawasan anti-statik dan setiap pekerja termasuk tetamu dikehendaki memakai kasut anti-statik untuk melalui kawasan yang ditetapkan. Kawasan pejabat pentadbiran adalah kawasan terakhir setiap pekerja atau tetamu dikehendaki memakai kasut anti-statik. Namun begitu ada segelintir pekerja masih terlupa atau tidak tahu bahawa kawasan pejabat pentadbiran dikehendaki memakai kasut anti-statik.

Sebenarnya ramai juga pekerja-pekerja tidak bersetuju kawasan pejabat pentadbiran diwajibkan memakai kasut anti-statik memandangkan kawasan ini langsung tiada kaitan dengan pengeluaran. Tetapi aku berpendapat walaupun mungkin akan timbul sedikit kesukaran dalam beberapa perkara kerana terpaksa menukar kasut, namun sebagai pekerja makan gaji segala arahan dan peraturan haruslah diikuti.