Thursday 26 February 2009

Ubat Penyakit

Kata orang apabila usia meningkat maka berbagai penyakit akan mula timbul. Ye ke? Haha... itulah ungkapan yang sering akan keluar dari mulut masyarakat. Adakah ia benar atau tidak mahupun itu semua secara kebetulan terserahlah kepada individu untuk mentafsirkan sendiri.

Sebenarnya jika kita kurang peka untuk menjaga kesihatan maka akan wujudnya berbagai penyakit yang sering melanda masyarakat kita hari ini seperti gout, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Tambahan pula dengan negara kita yang begitu mewah dengan pelbagai makanan yang enak-enak dan mudah diperolehi.

Aku sebenarnya nak berkongsi maklumat tentang hal penyakit yang aku hadapi sejak kebelakangan ini. Ala... penyakit ini biasa dihadapi oleh orang lain. Biasalah penyakit orang macam aku yang suka makan tetapi malas bersenam. Hehe... Tetapi bila dah kena penyakit, masa itulah berusaha hendak cari ubat tapi selalunya mencari jalan yang mudah aje. Bila sahaja terbaca atau terdengar pelbagai vitamin atau ubat yang kononnya boleh ubat penyakit itu penyakit ini maka aku mudah sahaja hendak mencuba. Namun begitu bila tidak nampak pun perubahan maka aku akan campaklah produk itu dengan ucapan "Selamat Jalan Romeo". Aik... itu tajuk lagu Ramlah Ram daaa.....

Aku pernah mencuba pelbagai produk HPA seperti Herba Tuju Angin, Malac, Vitex dan bermacam-macam lagi lah. Tetapi setiap bulan bila aku buat 'medical check up' tiada perubahan pun. Aku dah mula bosan dan kurang percaya tapi terkilan pula nak tinggalkan, manalah tahu herba ini belum serasi dengan tubuh badan aku. Aku kemudian makan D'Karm seperti yang disarankan oleh stokis. Kemudian aku diperkenalkan dengan produk ATM iaitu Cellfood. Harganya memang mahal tapi aku tetap mencubanya. Aku tengok sama aje tiada perubahan yang boleh dibanggakan. Aku rasa bengang juga sebab bila buat 'medical check up' penyakit aku macam itu juga. Apa nak jadi...

Namun begitu hari ini aku amat terperanjat dan yang paling penting sebenarnya aku terlalu gembira. Semasa aku membuat 'medical check up' jururawat klinik panel kata tekanan darah aku normal iaitu 130/70. Dia pun macam tak percaya sebab selama ini bacaan yang atas biasanya antara 140 - 150 dan yang bawah pula 85 - 100. Sebenarnya dah hampir setahun aku menantikan saat ini agar tekanan darah aku menjadi normal.

Sekarang ini yang menjadi persoalan aku D'Karm atau Cellfood yang telah berjaya menurunkan tekanan darahku. Aduh pening kepala pula memikirkannya. Nampak gayanya aku terpaksa mengambil kedua-duanya untuk melihat hasilnya sebulan dari sekarang. Kini aku semakin semangat buat senaman kerana tiga hari berturut-turut aku ada buat senaman sebelum membuat 'medical check up'. Oleh itu aku akan meneruskan usaha aku ini kerana sebulan dari sekarang 'senior staff' akan membuat 'Annual Medical Check up' dan semoga kesihatan aku bertambah baik.

Friday 20 February 2009

Sekolah Tinggi Muar


Pada 4hb Januari 1981 aku terpaksa meninggalkan Sekolah Menengah Sri Muar untuk melanjutkan pelajaranku di Sekolah Tinggi Muar di dalam aliran Sains. Sebenarnya pada masa itu Sekolah Menengah Sri Muar tidak mempunyai tingkatan 4 aliran Sains. Sejak dari hari itu bermulalah kisah perjalanan hidupku sebagai pelajar di Sekolah Tinggi Muar yang hanya bersebelahan dengan Sekolah Menengah Sri Muar. Sekolah Tinggi Muar adalah merupakan sekolah untuk pelajar lelaki kecuali tingkatan 6 terdiri dari pelajar lelaki dan perempuan.





Sepanjang aku menuntut di Sekolah Tinggi Muar bermula tahun 1981 di tingkatan 4 aliran Sains sehingga menamatkan pelajaran pada tahun 1984 di tingkatan 6 aliran Sastera berbagai kenangan pahit dan manis aku lalui. Hubungan aku dengan pelajar kaum Cina semakin rapat dan akrab. Di sini juga aku mengenali siapa kawan dan siapa lawan. Malah di sekolah ini juga aku dapat berjumpa semula beberapa orang kawan yang suatu ketika dahulu pernah menjadi kawan yang berkongsi makanan semasa di sekolah rendah tetapi menjauhkan diri hanya kerana aku bukan di kelas yang terbaik.



Ini adalah merupakan kelas pertama aku sebagai pelajar Sekolah Tinggi Muar iaitu tingkatan 4 Sains 5 (4Sc5) yang terletak di tingkat dua. Aku pada masa itu duduk di tempat belakang sekali. Kelas ini boleh dikatakan sebagai kelas aliran sains yang agak terkenal bukan kerana kelas terbaik aliran Sains tetapi kerana kenakalan pelajar-pelajarnya. Kelas ini juga ada pelajar terpantas sekolah dan juga nakal iaitu Khairul Kismie yang sering menggunakan nama dia yang unik untuk mempermainkan guru-guru. Manakala Hamdan pula suka menampalkan seluar dia dengan kulit yang kononnya koyak tetapi pada hakikatnya itu adalah salah satu dari fesyen seluar beliau. Apa yang paling mengharukan untuk menyatakan betapa nakalnya kami apabila pernah dua minggu berturut-turut kelas kami diumumkan sebagai kelas yang paling kotor sehingga memeningkan dan memalukan bukan sahaja guru tingkatan malah kena tempias pada guru-guru lain yang mengajar kami.



Ini adalah kelas aku semasa di tingkatan 5 Sains 5 (5Sc5) yang juga berada di tingkat dua. Di tahun ini juga guru tingkatan yang sama semasa tingkatan 4 yang mengajar matapelajaran Matematik Tambahan telah bertukar sekolah dan digantikan dengan guru tingkatan baru iaitu Cik Khor Mooi Hong yang mengajar matapelajaran Fizik. Cik Khor mahukan Penolong Tingkatan dibuat pemilihan semula manakala Ketua Tingkatan masih dikekalkan dengan pelajar yang sama semasa di tingkatan 4. Akhirnya aku berjaya menjawat jawatan tersebut dengan kemenangan yang tipis atas sokongan kesemua pelajar kaum Cina dengan menewaskan bekas Penolong Tingkatan yang lama.



Ini adalah bilik Pengawas yang pada zaman persekolahan aku adalah kawasan kosong yang menjadi laluan ke kelas lain. Kawasan yang berada di tingkat dua yang bedekatan tangga ini adalah menjadi laluan ke tingkatan 5 Sastera A (sewaktu aku tingkatan 5) dan 6 Rendah Sastera B (sewaktu aku tingkatan 6 Rendah). Semasa aku di tingkatan 6 Rendah Sastera A (6RSA) aku ditempatkan di kelas yang sama semasa aku di tingkatan 5 tetapi hanya seminggu sahaja sebelum pelajar dari Sastera A dan B digabungkan dan ditempatkan di bangunan dan kelas yang lain iaitu berhampiran kantin dan makmal sains untuk pelajar tingkatan 6. Ini semua atas cadangan aku kepada pihak sekolah. Pada tahun itu juga aku dilantik sebagai Ketua Tingkatan atas sokongan kuat dari pelajar kaum Cina yang juga terdiri dari pelajar lelaki dan perempuan yang sewaktu di tingkatan 5 bersekolah di sekolah lain.



Ini pula adalah kelas semasa aku di tingkatan 6 Atas Sastera A (6ASA) dan masih mengekalkan jawatan Ketua Tingkatan. Pada masa itu kelas ini bersebelahan dengan tingkatan 6 Atas Sastera B yang berdekatan dengan bilik air pelajar lelaki (pada masa artikel ini ditulis ianya berdekatan dengan kantin sementara disebabkan pengubahsuaian bangunan tingkatan 6). Tingkatan 6ASA sering diumumkan sebagai kelas paling bersih yang dianjurkan oleh Persatuan Bimbingan dan Kaunseling tetapi yang menjadi hairan kelas ini gagal memenangi kelas terbersih sepanjang penggal pertama kerana ada unusur perbuatan sabotaj. Kontroversi telah berlaku dan akhirnya permilihan kelas terbersih atau terkotor terpaksa dihentikan.



Ini adalah dewan Sekolah Tinggi Muar sebelum dibina bangunan baru. Di dewan inilah banyak menjadi saksi penglibatan aku dalam pelbagai bidang. Tingkatan 6ASA telah menjadi johan perbahasan Bahasa Malaysia dan aku adalah salah seorang pemidato tersebut. Di dewan ini juga kegiatan pendidikan jasmani iaitu gimnsastik diadakan. Malah di dewan ini juga buat pertama kali semasa aku di tingkatan 6 Rendah aku membuat persembahan tarian zapin sewaktu Hari Penyampaian Hadiah dan Sijil.


Sekolah Tinggi Muar mempunyai dua buah padang untuk kegiatan sukan pelajar-pelajar. Salah satu daripada padang tersebut adalah seberang jalan sekolah yang berdekatan dengan Bangunan Pejabat Kerajaan dan juga Istana Muar Sultan Johor. Di sinilah kegiatan Pendidikan Jasmani yang mana kami pelajar-pelajar hanya dibenarkan memakai seluar pendek sahaja tanpa baju. Namun pada tahun-tahun berikutnya junior kami dibenarkan memakai seluar track panjang dan berbaju semasa kegiatan Pendidikan Jasmani. Di padang ini jugalah aku dan kawan-kawan dari 4Sc5 pernah didenda memungut sampah selepas perhimpunan sekolah (pada masa itu hari Ahad adalah hari pertama persekolahan) dua minggu berturut-turut kerana muncul sebagai kelas yang paling kotor selama dua minggu berturut-turut.

Monday 16 February 2009

Sekolah Menengah Sri Muar


Sekolah Menengah Sri Muar (SMSM) sekarang dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muar adalah tempat aku menuntut ilmu semasa tingkatan satu hingga tiga iaitu tahun 1978 - 1980. Sekolah Sri Muar ini pada masa itu mempunyai pelajar lelaki dan perempuan yang majoritinya dikalangan pelajar Cina.


Sebenarnya terlalu banyak kenangan semasa aku menuntut di sekolah ini. Aku pada mulanya di tempatkan di tingkatan 1G iaitu kelas yang mempunyai hanya lima orang sahaja pelajar Melayu lelaki. Guru tingkatan adalah Puan Jameah yang mengajar Sejarah. Puan Halimah adalah guru yang mengajar Bahasa Inggeris yang tidak begitu disenangi oleh pelajar kerana begitu garang, tetapi dia begitu baik dengan aku kerana hanya aku sahaja pelajar lelaki yang kononnya bagus dalam matapelajaran ini. Manakala guru Matematik pula Cik Zaiton (betul ke namanya.. lupa daa) yang lebih kurang perangai seperti Puan Halimah. Namun aku selalu dapat tumpuan beliau kerana aku sahaja pelajar Melayu yang mampu menguasai Matematik yang setaraf dengan pelajar Cina. Tetapi sesekali kena juga cubit dengan Cik Zaiton bila silap memberi jawapan dalam Matematik. Hehe... Namun yang uniknya buku nota aku sering dipinjam oleh guru-guru sebagai rujukan kerana nota yang lengkap dan mudah dibaca tulisannya.

Semasa tingkatan dua pula aku ditempatkan di tingkatan 2D yang pada mulanya terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan, tetapi selepas sebulan kelas ini dirombak dengan menempatkan semua pelajar lelaki. Aku sekali lagi menjadi harapan kerana hanya aku sahaja pelajar Melayu yang sering memperolehi kedudukan nombor tiga ke bawah. Tahun ini juga menjadi isu yang hangat apabila pelajar lelaki Melayu berhasrat untuk memakai seluar panjang tetapi tidak dibenarkan kerana hanya pelajar tingkatan empat dan lima sahaja dibenarkan. Namun begitu sebelum cuti akhir tahun kami pelajar Melayu berpakat akan memakai seluar panjang sebaik melangkah hari pertama ke tingkatan tiga.
Aku ditempatkan di tingkatan 3D yang yang terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan. Sebenarnya dapat berjumpa kembali pelajar perempuan yang pernah ditempatkan sekejap semasa tingkatan dua sebelum berlaku perombakan kelas. Kedudukan meja pelajar-pelajar terpaksa dirombak apabila mendapat aduan bahawa tingkatan 3D bagitu bising bila ketiadaan guru. Hehe... Walau apapun dibuat yang pasti kelas tetap bising. Nama aku sering dicatit oleh ketua tingkatan Siti Azwan sebagai pelajar yang membuat bising, namun belum pernah diambil tindakan oleh guru. Pelik tapi benar. Sebenarnya sebelum sempat guru tingkatan melihat nama-nama tersebut aku yang bertindak lebih pantas. Kalau hendak tahu rahsianya itu kenalah tanya Saleha, Roslizah, Faridah, Shahriah dan Latiffah sebab mereka inilah pemberi maklumat dan menghasut aku. Hehe...
Walaupun hanya tiga tahun sahaja aku menuntut di Sekolah Menangah Sri Muar namun terlalu banyak kenangan suka duka yang aku alami. Semasa aku di tingkatan tiga aku menjadi anak yatim kerana abah menyahut panggilan Ilahi. Semasa di tingkatan dua kalau tak silap hanya aku sahaja diberi borang biasiswa Dato Onn sedangkan pelajar-pelajar lain mendapat borang biasiswa yang lain. Kata mereka duit biasiswa Dato Onn jumlahnya besar dan susah untuk diperolehi, namun begitu aku tidak dapat pun biasiswa tersebut. Di sekolah ini juga rupanya aku ada peminat bukan sahaja berminat untuk mengambil aku sebagai adik angkat tetapi ada juga yang secara diam telah terpikat dengan aku. Kwang.. kwang...
Bersambung..... Kita jumpa di artikel akan datang.

Wednesday 11 February 2009

Kotak Hitam

Hari ini aku ingin bercerita kisah kotak hitam yang menjadi topik hangat di pejabat melalui balasan emel. Sebenarnya kotak hitam yang ingin aku ceritakan ini tidak ada kena mengena dengan kotak hitam yang sering dicari oleh penyiasat bila berlaku sebarang kemalangan kenderaan seperti kapalterbang dan juga bas. Kotak hitam di pejabat aku adalah kotak pungutan derma jika ada kematian waris pekerja yang kebiasaannya menjadi ahli Kesatuan Sekerja.

Perkara ini menjadi perbincangan dimulakan dengan seorang pekerja yang ingin meminta pendapat berhubung dengan cara kutipan dan bagaimana wang tersebut diagihkan. Perkara ini bukanlah untuk menimbulkan kontroversi tetapi sekadar pendapat atau lebih tepat untuk mengetahui perkara sebenar ke atas perkara yang menjadi persoalan bagi sesetengah pekerja.

Aku pula turut memberi pendapat bahawa persoalan mengapa kotak hitam itu lambat diedarkan atau cara pembahagian wang derma itu harus dijawab oleh orang yang bertanggungjawab terhadap kotak hitam tersebut. Pada pandangan aku kata-kata tersebut memang mudah dan jelas kerana jika orang lain yang membuat kenyataan pastilah mula ayat yang merapu.

Namun ada seorang mamat ini telah menjawab bahawa kelewatan kotak hitam itu diedarkan disebabkan pekerja lain tidak perihatin untuk panjang-panjangkan kotak hitam tersebut dan kalau menderma biarlah ikhlas.

Aku malas hendak menjawab kerana nanti akan tercetus kontroversi namun aku tersenyum membaca komen mamat tersebut. Aku yakin mamat tersebut memang tidak memahami keadaan tersebut tetapi berminat untuk memberi pendapat. Sebenarnya kelewatan kotak hitam itu diedarkan dari satu jabatan ke satu jabatan bukan disebabkan staff sesuatu jabatan itu tidak perihatin dengan sengaja melewatkan perjalanan kotak tersebut tetapi disebabkan jabatan yang pertama menerima kotak hitam itu lewat menerima dari orang yang bertanggungjawab ke atas kotak tersebut. Apa yang aku perhatikan kebiasaannya selepas enam bulan ahli keluarga itu meninggal dunia barulah kotak hitam itu diedarkan.

Oleh itu aku berpendapat si mamat ini ada kemungkinan hanya memasukkan duit di dalam kotak hitam tersebut tanpa mengetahui apa sebenarnya tujuan kotak hitam tersebut. Nasib baiklah kotak itu memang untuk pungut derma tetapi kalau untuk tujuan lain mungkin sia-sia perbuatan mamat tersebut. Namun aku juga berpendapat ada kemungkinan mamat itu sebenarnya tidak menderma pun itu sebab dia dia tidak perihatin dengan keadaan yang berlaku. Kalau dia menderma pasti dia akan membaca butiran yang ada pada kotak tersebut dan mengetahui tarikh sebenar ahli keluarga pekerja meninggal. Adalah mustahil jika di hati mamat itu tidak berdetik kehairanan jika melihat tarikh kematian dan edaran kotak itu terlalu jauh.

Jadi pada pandangan aku bila ingin memberi komen atau pendapat biarlah kita tahu apa sebenarnya berlaku. Jadi fikir-fikirkanlah....

Sunday 8 February 2009

Adik Angkat

Kali ini aku ingin berkongsi cerita dengan pembaca mengenai adik angkat. Aku mempunyai tiga orang adik angkat yang amat bermakna dalam hidup aku.

Khairunnizat bin Mat Arop adalah merupakan junior jauh aku di ITM Pahang (kampus Jengka) yang mula aku kenali sebaik sahaja dia memulakan alam pekerjaan di tempat aku bekerja. Khairul atau Khairun, itulah nama yang dikenali di tempat kerja adalah bekas graduan Sains Komputer (DCS). Aku lebih mesra memanggil dia dengan nama panggilan harian keluarga beliau. Aku amat berterima kasih kepada beliau kerana beliaulah, aku banyak mengenali dunia IT atau lebih tepat hal-hal yang berkaitan dengan komputer seperti internet, download lagu dan sebagainya. Komputer PC pertama yang aku miliki pun aku meminta bantuan dari beliau untuk membeli kerana aku tidak faham selok belok tentang komputer. Apa yang membuat aku sering tertanya ialah bagaimana dia dapat membaca segala fikiran apa yang aku mahukan dalam komputer peribadi aku tanpa perlu aku meminta bantuan dia untuk 'download' sesuatu program. Setelah beliau bekerja di Bank Pertanian (Agro Bank) Kuala Lumpur, apa yang terjadi kepada komputer terpaksa aku rujuk ke kedai komputer. Kini semua program yang telah dibuat oleh beliau hanya menjadi kenangan sahaja sebab semuanya telah terkubur akibat beberapa kali dihantar ke kedai komputer. Sebaik sahaja beliau mempunyai dua anak perempuan hubungan kami terus terputus. Ermm... mungkin aku kena tunggu beliau mendapat anak ketiga agaknya kerana setiap kali dia berada di hospital bersalin (menunggu isteri melahirkan anak) pasti dia akan menelefon aku. Apa-apapun buat Khairun dan Di (Wadiah), abang sentiasa mendoakan kebahagian buat kamu sekeluarga.

Norizal bin Singgin juga merupakan adik angkat yang aku kenali semasa kerja di tempat yang sama yang berasal dari Kota Tinggi. Beliau merupakan seorang operator sebelum menjawat jawatan kerani. Walaupun di tempat kerja dia lebih dikenali dengan nama Rizal tetapi aku lebih mesra memanggil dia dengan nama Adik. Kalau dia mempunyai masalah, pasti dia akan menghubungi aku untuk berkongsi masalah atau meminta nasihat. Hubungan kami semakin renggang sebaik sahaja dia mula membuat kerja lebih masa dan tinggal di asrama. Sebaik sahaja beliau mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur hubungan kami terus terputus. Apa yang amat aku kesalkan 'kejutan budaya' yang menimpa dirinya. Aku banyak mendengar kisah-kisah negatif tentang beliau tetapi aku tidak berdaya untuk membimbing beliau seperti dahulu. Aku kini hanya mampu berdoa agar dia dapat menghubungi aku semula kerana aku tahu di saat ini dia pasti memerlukan aku untuk memberi sokongan. Walau siapa pun dia sekarang aku masih menganggap dia sebagai adik kerana aku tahu dia seorang anak yang baik tetapi hanya silap langkah dalam kehidupan.

Rohani binti Abd. Satar adalah adik angkat aku berasal dari Felda Keratong, Pahang. Dia ni walaupun mempunyai susuk tubuh yang kecil tetapi mempunyai hati yang waja. Aku amat kagum dengan semangat kental yang dimiliki oleh beliau dalam menghadapi kehidupan yang semakin mencabar. Aku pernah juga menziarahi beliau sekeluarga di Bandar Muadzam, Pahang. Suatu ketika dahulu dia pernah mengalami pergolakan hidup dan sebagai seorang abang aku sering memberi kata nasihat untuk dia hadapi semua itu. Aku bersyukur kerana hasil kesabaran dan semangat waja semua itu berjaya dia hadapi. Walaupun kami jarang berhubung namun sesekali pasti dia akan sms untuk bertanya khabar. Apa-apapun aku sebagai seorang abang sentiasa mendoakan kebahagiaan adikku Rohani dan Roslem sekeluarga.

Sebenarnya terlalu banyak untuk aku ceritakan tentang adik angkat aku ini. InsyaAllah kalau diizinkan aku akan membuat artikel khas untuk mereka. Kepada adik-adik angkat aku Khairun, Rizal dan Ani abang akan sentiasa berdoa agar kamu semua bahagia. Ingatlah "Abang tetap abang... walau di mana pada bila masa...".

Saturday 7 February 2009

Kemelut Politik Di Perak

Mungkin pembaca akan tertanya tak berminat kah aku menulis tentang kemelut politik di Perak ini. Entahlah. Walaupun aku ni bekas graduan Institut Teknologi MARA (ITM) yang mana Sains Politik adalah menjadi salah satu matapelajaran wajib bagi kursus yang aku ikuti namun semuanya telah aku tinggalkan apabila memulakan alam pekerjaan di bidang Accounts. Namun ini tidak bermakna aku melupakan semuanya begitu sahaja yang menjadi asam garam kehidupan.

Aku tidak bermaksud untuk memihak mana-mana parti politik di Malaysia namun aku tetap akan menjalankan tanggungjawab aku sebagai rakyat apabila pilihanraya diadakan. Apabila ditanya siapakah atau parti mana akan aku undi, maka jawapan yang aku jawap secara spontan "Undi adalah rahsia". Ermm... teringat pula semasa membuat kertas kerja tutorial semasa di ITM kerana itulah jawapan yang aku berikan apabila disoal oleh kawan-kawan sekelas. Aku pasti kawan-kawan teringat peristiwa ini terutama Man Gelap yang menyoal aku semasa aku membuat pembentangan kertas kerja dan Bilal pula gelak besar mendengar jawapan aku.

Berbalik kepada kemelut politik di Perak ini membuat aku semakin tak faham kenapa masih ada lagi pemimpin dan rakyat yang berfikiran sempit apabila cuba melibatkan diri di dalam arena politik ini. Pemimpin atau wakil rakyat mula menunjukkan taring atau keegoan masing-masing dengan tuduh sana sini, cerca sana sini dan yang paling kelakar bila sekejap lompat parti sana dan kemudian lompat parti sini. Itu belum kita kaji pula yang hanya gah bercakap konon dia yang paling baik tetapi bila kena batang hidung sendiri nada lain pula berbunyi. Pelik tapi benar. Itulah permainan politik. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Malam tadi aku melihat dan mendengar berita di TV tentang sepanduk, piket, rusuhan dan berbagai lagi untuk melahirkan rasa tidak puashati apabila kerajaan Negeri Perak yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat telah ditumbang oleh Barisan Nasional (BN) akibat macam permainan kanak-kanak yang suka merajuk dan lompat melompat. Kemudian satu pihak ego tidak mahu menerima kekalahan hingga engkar dengan arahan Sultan dan dipihak yang lain pula tidak sabar untuk menerajuinya.

Tapi tanpa kita sedari ataupun mungkin sedar tapi ada rasa sifat ego hingga lupa bahawa hanya ada satu pihak sahaja yang terlibat dalam rusuhan tersebut. Persoalannya di mana perginya satu pihak yang lain. Adakah pihak tersebut duduk di rumah sekadar menonton TV sambil bertepuk tangan dan ketawa besar. Seperti kata Raja Lawak 2 Astro 'Lu fikirlah sendiri'. Apakah kejadian semalam masih belum menyedarkan rakyat. Fikir-fikirkanlah.

Aku tahu ada kalangan pembaca yang bersetuju dan juga yang tidak bersetuju dengan tulisan aku ini. Aku sekadar menulis untuk memberi pendapat dan itu hak masing-masing untuk menilainya. Aku tidak berniat untuk menimbulkan kontorversi. Aku sedar bahawa aku masih belum layak untuk membuat ulasan tentang politik di Malaysia ini tetapi, sekadar nasihat walau apapun tindakan kita jagalah kedaulatan dan maruah bangsa Malaysia.

Wednesday 4 February 2009

Alam's Story



Kalau sesiapa pernah menonton siaran di 8TV bermula pada 3hb Ogos 2008 setiap Ahad malam Isnin jam 10.00 malam pasti pernah melihat gambar yang aku pamerkan ini. Ini adalah suatu tempat di susur Sungai Muar dinamakan Laman Maharani (daerah Muar). Kawasan ini adalah berdekatan ataupun bersebelahan dengan Jambatan Muar iaitu jambatan penghubung bandar Muar dan Tanjung Agas (kini jadi milik daerah baru iaitu Ledang). Sebenarnya ini adalah salah satu tempat pengambaran drama Alam's Story.
Alam's Story ini adalah kisah perjalanan hidup penari kegemaran Malaysia, Muhammad Haslam (Alam) yang datang dari Muar ke Kuala Lumpur dengan motosikal kapcai untuk menghadiri sesi ujibakat 'So You Think You Can Dance' musim pertama bagi menggapai impian bergelar penari terbaik kegemaran Malaysia.
Kegigihan Alam seorang anak orang miskin akhirnya membawa kemenangan untuk membawa pulang wang sebanyak RM 50,000.00 sebagai ganjaran. Sebenarnya banyak liku-liku yang terpaksa Alam hadapi sejak di zaman perseolahan hinggalah dihari pertandingan tersebut.

Aku sebenarnya merasa bangga bukan sahaja kerana Alam berasal dari Muar malah aku dengar khabar Alam ini adalah junior aku di Sekolah Tinggi Muar. Walaupun aku tidak pernah berjumpa malah tidak pernah mengenali beliau namun aku berharap suatu hari nanti aku dapat berjumpa dengan beliau jika ada perjumpaan bekas-bekas pelajar Sekolah Tinggi Muar.
Walau bagaimanapun aku sebagai abang senior berbangga mempunyai adik junior bernama Muhammad Haslam atau Alam. Good luck Alam...