Sunday 28 December 2008

Ma'al Hijrah vs Tahun Baru

Berapa ramai di antara kita generasi muda umat Islam hari ini faham dan mengerti apa itu Ma'al Hijrah atau Awal Muharam. Tapi sebut sahaja Tahun Baru pasti dengan pantas mereka akan menerangkan dengan begitu yakin terutama bab-bab cara menyambut Tahun Baru dengan sambutan sana sini dan percikan bunga api. Siapa perlu disalahkan? Ibu bapa? Pemimpin? atau generasi itu sendiri? Sendiri mahu ingatlah.

Esok umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Ma'al Hijrah atau Awal Muharam iaitu tahun baru bagi kalendar Islam untuk tahun 1430. Kemudian beberapa hari pula penduduk dunia pula akan menyambut kedatangan Tahun Baru 2009. Persoalannya apakah sambutan yang akan kita raikan bagi kedua-dua sambutan ini. Tepuk dada tanya selera. Apapun sambutan yang bakal kita harungi biarlah ada batasnya dengan kegawatan ekonomi.

Sebentar lagi aku akan balik kampung kerana cuti selama seminggu. Ooops... jangan pula fikir aku ini raya sakan sambut tahun baru. Sebenarnya cuti Ma'al Hijrah 1430 dan Tahun Baru 2009 berdekatan atau bersambung maka tempat aku kerja mengambil kesempatan di atas kegawatan ekonomi ini menyambung cuti pekerja-pekerja.

Kepada semua umat Islam, aku ingin mengucapkan Salam Ma'al Hijrah 1430 dan terima kasih kerana masih sudi membaca blog aku yang tak seindah mana pun. Pesan aku kepada pembaca kalian terangkan erti Ma'al Hijrah ini kepada generasi kamu yang mendatang agar mereka tahu akan pengorbanan dan perjuangan Islam sebenarnya. Namun begitu, aku juga ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2009 dengan harapan agar kegawatan ekonomi tidak berpanjangan dan kita hidup aman dan damai dengan diberkati Allah yang maha Esa.

Saturday 27 December 2008

Keracunan Makanan

Dah beberapa hari aku tidak dapat kemaskinikan blog aku ini. Kepada pembaca-pembaca yang telahpun berkunjung blog aku ini, ribuan terima kasih aku ucapkan. Setakat ini yang aku tahu ialah Muslim, Farah, Shema, Lan Kida dan juga Fendi. Itupun melalui komen-komen yang telah diberikan. Thank you.

Malam penganut agama Kristian menyambut Krismas aku dilanda keracunan makanan. Aku lemah dan tak berdaya kerana muntah dan cirit birit. Aku gagahkan juga ke klinik yang berdekatan untuk mendapat rawatan lebih kurang jam 12.30 tengah malam. Pada keesokkannya penyakit ku ini masih belum pulih. Tetapi yang pasti sepanjang hari itu aku langsung tidak menyentuh makanan. Aku cuma mampu minum air sahaja kerana tidak berselera untuk makan. Badan aku tak larat sangat untuk bangun atau bergerak. Aku lebih banyak baring di katil sahaja.

Walau bagaimanapun aku masih sempat berbalas sms dengan Muslim yang telah datang bercuti ke rumah kakak beliau di Johor Bahru. Erm... terkilan juga sebab aku tidak dapat berjumpa beliau. Apa nak dikatakan dah bukan rezeki untuk aku berjumpa dan berborak panjang dengan Muslim.

Pada 26 Disember aku gagahkan juga ke tempat kerja memandangkan kesihatan aku beransur pulih. Kalau ikutkan hati memang aku hendak mengambil cuti tetapi memandangkan hari itu adalah hari 'stock check inventory' aku gagahkan juga ke tempat kerja. Tujuan aku ialah untuk mengambil semua data bagi membolehkan aku membuat kerja-kerja di rumah nanti memandangkan aku akan bercuti panjang selama seminggu bermula hari ini. Adalah menjadi kelaziman cuti panjang ini aku pasti balik kampung untuk menikmati kedamaian rumah tempat aku dibesarkan.

Ermmm.... berbalik pasal aku kena keracunan makanan tu, semalam aku timbang berat badan. Aku terkejut sebab aku turun 3 kilo. Haha... Tapi yang pasti masa datang ke tempat kerja muka aku kelihatan pucat, mata cengkung dan badan masih lemah. Ada kawan-kawan cadangkan aku mengambil minuman "100 plus". Aku cuba selidik dari mana punca kejadian keracunan makanan ini aku hadapi. Aku cuma teringat aku ada makan 'Nasi Ayam Goreng' sebelum waktu maghrib. Tetapi bila kerani aku bertanya samada aku ada makan lain selain itu aku menjawab 'ya' iaitu sambal kat kantin ofis jam 3 petang. Menurut kerani aku dalam sambal tu ada lalat. Cis... aku AJK kantin termakan lalat kot.

Walau bagaimanapun aku sempat juga menyalin data yang perlu dalam 'pendrive' untuk buat persediaan report walaupun aku belum mendapat laporan report yang sebenarnya. Jadi hari ini aku kena selesaikan segala persediaan report sebelum aku balik ke kampung esok pagi.

Aku berharap aku tidak lagi mengalami keracunan makanan, maklum ajelah esok rumah sepupu aku ada majlis perkahwinan. Serik aku.

Monday 22 December 2008

Berkhatan @ bersunat

Semasa di kampung sedang aku asyik membaca berita-berita di akhbar tentang perkahwinan Artis Paling Popular di Malaysia, Mawi maka aku terpandang berita tentang seorang kanak-kanak di sebuah negeri di Malaysia melarikan diri kerana takut berkhatan ataupun bersunat. Aku tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa tetapi berita itu sebenarnya membuatkan aku tersenyum dan teringat akan peristiwa yang lampau.

Kalau dahulu seperti menjadi kelaziman kanak-kanak lelaki Islam yang berusia 12 tahun akan melalui peristiwa berkhatan ini. Tetapi sekarang amat berbeza kerana tidak semestinya menunggu usia 12 tahun baru akan berkhatan kerana ada yang lebih muda dari usia 12 tahun juga telah berkhatan.

Berbalik kepada peristiwa yang ingin aku ceritakan ini berkisah kepada perkara yang terjadi pada hari aku nak bersunat (istilah sekarang berkhatan). Sehari sebelum aku bersunat, jiran aku iaitu abang Zainal yang juga tukang sunat di Hospital Muar bertanya betul ker aku nak bersunat hari esoknya. Aku mengangguk kepala sambil tersengih.

Pada hari yang dijanjikan aku membonceng basikal dengan sepupuku Azman dari Singapura ke hospital. Ala... hospital dekat je dengan rumah aku. Sebaik sahaja sampai di hospital aku lihat ramai orang telah menunggu ditemani oleh ibu bapa masing-masing. Aku nampak juga kelibat berberapa kawan-kawan sekolah. Sementara menanti giliran sempatlah masing-masing berborak dan bergurau senda.

Setelah itu abang Zainal (tukang sunat) tersenyum memandang aku dan memanggil aku untuk menjadi orang yang pertama bersunat pada hari itu. Sebaik sahaja aku masuk ke bilik tempat bersunat, tetiba ada seorang makcik dan anak dia (yang nak bersunat juga) berjumpa dan bercakap sesuatu dengan abang Zainal. Kemudian makcik tu merayu kat aku supaya anak dia disunatkan dahulu. Aku pun beralah dan keluar dari bilik tersebut. Sepupu dan kawan-kawan tanya mengapa aku tak jadi sunat. "Ntah... Ada budak tu nak sunat dulu" jawab aku dengan selamba.

Beberapa minit kemudian tiba giliran aku pula. Aku pun masuk bilik tersebut tetapi budak tadi masih lagi berada di bilik tersebut. Sebaik sahaja aku masuk ke bilik tersebut aku nampak budak tu dah lembik macam nak pengsan sambil dipapah mak dan ntah siapa lagi aku pun tak kenal. Aku tak hirau sangat pasal budak tu tapi yang buat aku bengang ialah kerana kelam kabutnya mereka semasa nak keluar dari bilik tu hingga lupa nak tutup pintu. Nasib baiklah pembantu-pembantu yang ada ternampak dan cepat-cepat tutupkan pintu bilik tersebut.

Setelah segala urusan selesai aku keluar dari bilik itu dengan memakai kain pelikat. Aku nampak budak yang hampir pengsan tu masih lagi belum balik lagi. Aku tersenyum kepada kawan-kawan aku sambil membebel kat sepupu aku pasal budak tu tak tutup pintu. Aku kemudian terus menaiki beca (kenderaan yang paling popular masa itu) untuk balik ke rumah.

Jadi bila aku terbaca atau terdengar perihal kanak-kanak takut berkhatan, masa itu jugalah aku tersenyum teringatkan peristiwa 30 tahun yang lampau. Entahlah. Nak kata kelakar, kasihan pula aku teringatkan bila makcik tu merayu kat aku supaya anak dia disunatkan dahulu. Tapi kelakar jugalah bila tengok budak tu lemah tak berdaya kerana takut bersunat. Heee... jahatnya aku nak ketawakan orang.

Kepada budak itu dan keluarganya, aku memohon maaflah andaikata satu ketika nanti mereka terbaca artikel dalam blog aku ini. Aku tidak berniat untuk mengaibkan sesiapapun tetapi sekadar untuk berkongsi cerita dan pengalaman.

Sunday 21 December 2008

Pusara emak dan abah.

Memang menjadi kelaziman aku setiap kali pulang ke kampung pasti tempat yang aku akan ziarahi adalah pusara emak dan abah. Tetapi selepas Hari Raya Adil Fitri yang lepas setiap kali pulang ke kampung aku tak berkesempatan menziarahi pusara emak, abah, anak saudara dan juga atuk aku. Hari Raya Aidil Adha walaupun aku pulang ke kampung namun disebabkan di pagi Hari Raya tu hujan, ia telah membataskan pergerakanku.

Alhamdulillah Jumaat lepas aku pulang ke kampung kerana ada hal yang mustahak. Aku bersyukur pada pagi Sabtu cuaca amat cerah. Selepas sembahyang subuh lebih kurang jam 6.15 pagi dengan menaiki moto Honda C70 abang aku, aku terus ke pusara emak, abah dan anak saudara di Bakri Batu 6, Muar. Namun aku tak berkesempatan ke pusara atuk. Ermm... biasalah lalang sudah mula tumbuh bukan sahaja di kawasan pusara abah tetapi juga yang berdekatan. Aku tidak dapat membersihkan keseluruhan pusara abah kerana aku tidak membawa peralatan yang sesuai. Maklum aje lah naik moto lah katakan. Apa pun aku rasa puas dapat membaca surah Yassin di pusara abah.

Selepas itu aku ke pusara emak. Kawasan pusara emak tidaklah tumbuh lalang kerana pusara emak terletak di depan laluan orang ramai untuk ke pusara keluarga masing-masing berbanding pusara abah yang ke dalam sedikit. Tetapi daun-daun tetap bersepah namun memudahkan aku membersihkannya.

Setelah selesai aku membaca surah Yassin di pusara emak, aku terus ke pusara anak saudara. Aku cuma sempat memandang dari jauh aje pusara atuk. InsyaAllah minggu depan ada kesempatan aku akan menziarahinya. Aku lihat daun-daun kering juga banyak bertaburan atas pusara anak saudaraku. Macam biasa aku juga membaca surah Yassin di pusara anak saudaraku. Erm... patutlah pusara abah penuh lalang kerana aku yakin abang sulung aku mungkin sibuk sebab pusara anak dia juga seperti tak terjaga.

Aku tidak menyalahkan sesiapa pun dalam hal ini. Kadangkala hasrat kita terbantut kerana hal-hal lain yang tidak dapat dielakkan. Namun begitu kerinduan akan pada emak dan abah tertunai juga apabila dapat menziarahi pusara mereka. InsyaAllah dengan cuti yang bersambung pada minggu ini dan minggu depan aku pasti akan pulang ke kampung untuk menziarahi pusara mereka lagi. Al-Fatihah.

Wednesday 17 December 2008

Terima SMS

Sewaktu aku menulis artikel "Kawan" aku menerima sms dari seseorang yang bertanya "Nape x update?". Aku jawab "Tengah update. Semalam komputer buat hal".

Siapakah dia? Dia ini adalah salah seorang kawan, sahabat dan yang sewaktu dengannya yang begitu rapat dengan aku semasa di ITM dulu. Aku pasti ramai kalangan kawan-kawan di ITM boleh agak siapakah gerangannya. InsyaAllah, mungkin aku akan buat satu artikel tentang beliau.

Alamak.... aku dah hebohkan tentang bahan artikel aku akan datang. Hehe.... Tunggu....

Kawan

Kawan adakala boleh membuatkan kita bahagia tetapi adakala ia juga boleh membuatkan kita sengsara. Walau bagaimanapun terpulanglah kepada kita untuk berkawan dengan siapa pun.

Aku sebenarnya sejak dari sekolah lagi tidak mempunyai ramai kawan rapat terutama kaum Melayu. Aku sendiri kadangkala tidak faham mengapa aku lebih selesa berada di kelompok kawan-kawan Cina ataupun India. Ini tidaklah bermakna aku tiada langsung kawan Melayu tetapi cuma hanya beberapa orang sahaja.

Aku mula rapat dengan kawan-kawan Cina bila aku bersekolah di Sekolah Menengah Sri Muar sehingga terbawa-bawa ke Sekolah Tinggi Muar. Kalau aku ada masalah dengan matapelajaran Matematik, Kimia, Biologi ataupun Fizik mereka dengan sukarela mengajar aku. Masih aku ingat sewaktu di tingkatan 5 bila cikgu ingin memilih semula Penolong Ketua Kelas aku terpaksa bertanding dengan Penolong Ketua Kelas yang lama. Aku menang dengan majoriti yang terlalu kecil. Aku mendapat undian 100% dari kawan-kawan Cina dan hanya 2 atau 3 orang sahaja kawan-kawan Melayu. Aku sebenarnya memang tidak berminat dengan jawatan ini tetapi kawan-kawan Cina yang mencalunkan nama aku. Aku cuma terkilan bila dapat tahu ada kawan-kawan Melayu yang baik dengan aku sendiri tidak memilih aku. Tetapi aku tidak kisah pun tentang hal ini.

Aku sendiri tidak tahu adakah aku ni tidak mesra alam? Namun begitu berkawan dengan kaum Melayu dan Cina memang banyak perbezaan. Bagi aku terpulanglah kepada orang lain dengan siapa mereka hendak berkawan. Walaupun kadangkala aku tidak disenangi oleh segelintir kawan-kawan Melayu kerana keakraban aku dengan kawan-kawan Cina namun aku tidak peduli. Aku bukan tidak mahu berkawan rapat dengan kawan-kawan Melayu tetapi mereka yang macam menjauhkan diri dari aku.

Namun begitu aku masih ada kawan-kawan Melayu semasa di sekolah dulu cuma bilangannya tidaklah ramai. Ermmm... pada 09/12/2008 yang lepas tanpa aku duga terserempak dengan salah seorang kawan Melayu yang rapat dengan aku sewaktu di tingkatan 4 dan 5 iaitu Zulkarnain Mustapa di Muar. Terima kasih Zul kerana masih mengenali aku walaupun kau lupa nama aku. Hehehe... Aku rapat dengan Zul ni pun bila dia tahu sepupu aku berkahwin dengan mak saudara dia.

Sebaik sahaja kau melangkah ke IPTA iaitu di Institut Teknologi MARA bermulalah espisod aku mempunyai kawan-kawan Melayu. InsyaAllah suatu ketika nanti di lain artikel aku akan menceritakan kenangan aku bersama-sama mereka.

Aku tahu mungkin ramai yang marah bila membaca artikel aku ini, tetapi ini adalah realiti dan perlulah menerima hakikatnya. Kalau ada yang tersinggung aku memohon maaf aje. Walau bagaimanapun aku tetap menghargai kawan-kawan aku tanpa mengira kaum walau di mana jua anda berada.

Sunday 14 December 2008

Siapa Aku

Dengan wujudnya blog aku ini berkemungkinan dapat menghubungkan aku dengan kawan-kawan persekolahan ataupun guru-guru yang sudah lama terpisah. Tapi siapakah aku? Siapa ek... Aku ni sejak dari zaman persekolahan memang 'low profile'. Aku sendiri tidak pasti berapa ramai orang yang pernah mendapat pendidikan di tempat yang sama samada kawan sekelas ataupun senior dan junior mengenali aku. Maklum ajelah aku ni suka 'low profile'. Aku bukan tak nak bergaul tapi aku ni pemalu sikit ( yer ker). Tapi yang pasti di sekolah aku lebih selesa atau mempunyai ramai kawan dikalangan Cina dan India. Ooops... maaf. Ini tidaklah bermakna aku tidak mempunyai kawan Melayu, tetapi kuantiti yang sedikit aje. Jangan salah anggap ye. Itu sewaktu zaman persekolahan tetapi bila aku ke IPTA aku dah ramai juga kawan Melayu. Mengapa ek... Nantilah aku akan bercerita di lain artikel yang khusus ye.

Kepada pembaca yang nak tahu siapa aku maka ikutilah kronologi persekolahan dan pendidikanku. Manalah tahu sewaktu aku berada di situ ada juga pembaca pernah berada di situ suatu ketika dahulu.

a). Sekolah Rendah Ismail (Satu), Muar, Johor (1972 - 1977).
b). Sekolah Menengah Sri Muar, Muar, Johor (1978 - 1980).
c). Sekolah Tinggi Muar, Muar, Johor (1981 - 1984).
d). Institut Teknologi MARA, Pahang (Julai 1985 - 1987).
e). Institut Teknologi MARA, Shah Alam (Julai 1987 - 1988).
f). Sekolah Agama Parit Setongkat, Muar (1974).
g). Sekolah Agama Kg Kenangan Tun Dr Ismail, Muar (1975 - 1979).

Maka itulah aku... Kalau tak kenal tak apalah. Tak paksa pun untuk mengenali aku. Haha....

Blog Aku

Aku telah lama berhasrat untuk membuat blog tetapi memandangkan aku bukanlah seorang yang begitu pandai dalam hal-hal komputer dan internet membuatkan hasratku itu banyak tertangguh. Namun begitu hasrat itu tidak pernah padam dalam hati dan fikiranku. Oleh itu aku gagahkan jua untuk membuat blog ini. Aku pasti selagi aku tidak berani mencuba pasti aku tidak akan berjaya. Akhirnya inilah hasilnya.

Aku tahu blog aku ini pasti banyak kelemahan dan kekurangan. Oleh itu kepada pembaca yang telah singgah di blog aku ini samada aku kenali atau tidak mahupun yang mengenali aku atau tidak, diharap memahami situasi aku. Aku berharap akan ada ramai yang sudi membantu menjadikan blog aku amat bermakna. Aku amat mengalu-alukan tunjuk ajar yang berguna dari pembaca semua, tetapi jika dirasakan untuk memberi komen negatif atau merasakan ia tidak memenuhi citarasa pembaca harap lupakan aje dan carilah blog lain.

Aku mengharapkan sokongan anda dan berharap dengan adanya blog ini dapat menghubungkan aku semula dengan teman-teman persekolahan suatu ketika dulu. Maka hari ini bermulalah blog aku ini yang aku sendiri tidak tahu untuk menamakannya. Tapi yang jelas walau apa pun anggapan pembaca aku pasti "Aku Tetap Aku.."